Monday, September 26, 2011

Lukisan



Lukisan boleh didefinisikan dengan pelbagai makna dan fungsi. Lukisan boleh memberi maksud gambaran sesuatu subjek yang dilukis berdasarkan apa yang dilihat.

Hal in dapat dibuktikan dengan terdapatnya bukti sejarah yang menunjukkan lukisan paling awal dipercayai telah dijumpai di Gua CHauvet, Ardeche, perancis pada tahun 15000- 13000 S.M. Lukisan tersebut menggambarkan sekumpulan kuda.  Lukisan gambar kuda atau binatang perburuan dipercayai adalah salah satu hasil lukisan yang dihasilkan oleh manusia pada zaman paleolitik.


Terdapat beberapa definisi lain yang menerangkan maksud yang hampir sama tentang apa itu lukisan. Antaranya seperti menurut kamus Oxford, lukisan ialah garisan yang membentuk imej dengan tidak menggunakan warna walaupun menggunakan warna secara terhad.


Menurut Marhanim A.Razak dan Mohd shahrizal dolah (2007) pula, lukisan adalah aktiviti penghasilan karya yang bertujuan mengkaji struktur bentuk objek atau imej yang dilukis secara teliti. Lukisan juga adalah untuk menyatakan luahan emosi, keintelektualan dan spiritual manusia.


Manakala menurut Mazlan Mukhtar dan Nor Aslina Mamat (2009), lukisan adalah satu teknik mengambarkan dengan menggunakan media kering atau warna yang paling minimum. Lukisan adalah proses awal dalam catan, cetakan, seni grafik, arca dan sebagainya sebelum karya sebenar dihasilkan. Lukisan ialah karya seni atau hasil kerja yang dihasilkan di atas sesuatu permukaan.


Selain itu, menurut Sarah Simblet (2004), lukisan adalah ungkapan atau perluahan serta merta dalam melihat, berfikir dan perasaan. Lukisan adalah alat untuk mengkaji idea dan pengetahuan, rakaman serta refleksi pengalaman. Lukisan adalah cermin yang membolehkan kita melihat dunia dan apa yang ada dalam fikiran.


Secara kesimpulannya lukisan ialah seni yang menggambarkan objek atau pelan dengan garisan. Lukisan ialah hasil seni 2 dimensi dengan menggunakan media kering seperti pensil, krayon, pen, pastel, arang, pen marker, pensel warna, pastel dan sebagainya. Penggunaan dakwat termasuk dalam kategori lukisan kerana dakwat tidak perlu dilarutkan. Proses melakukan garisan, melorek ton dan juga menggosok juga dipanggil lukisan. Aplikasi garisan, rupa, bentuk, saiz warna dan jalinan keatas sesuatu hasil kerja di namakan lukisan bergantung kepada penggunaan gaya yang ekspesif dan nyata.


Lukisan merupakan hasil kerja seni yang dibuat di atas sesuatu permukaan rata untuk meluahkan perasaan berbentuk imej dengan menggunakan media kering atau menggunakan warna paling sedikit. Lukisan adalah lanjutan beberapa lakaran ringkas bagi merakamkan informasi visual kepada sesuatu kegiatan lain seperti catan, kolaj, montaj dan cetakan. Penggunaan alat dalam sesebuah lukisan terhad kepada media kering seperti pensel, pensel warna, pastel, arang, pen dan dakwat. Lukisan mengaplikasi garisan, rupa, bentuk, saiz, warna dan jalinan.


Lukisan berbeza dengan lakaran. Lukisan merupakan kerja peringkat kedua yang melibatkan kerja lebih sistematik untuk mendapatkan kesan ton, jalinan, pencahayaan, ruang dan lain-lain. Gambaran dilakukan di atas permukaan rata dan merupakan gabungan garisan dan ton warna. Lukisan juga boleh memberikan makna yang tertentu kapada audiens menerusi imej yang dilukis.


Rujukan
Marhanim A. Razak, Mohd. Shahrizal Dolah (2007). Teks STPM: Seni Visual. Shah Alam: Oxford  Fajar Sdn. Bhd.
Mazlan Mukhtar, Nor Aslina Mamat (2009). Pendidikan Seni Visual SPM. Selangor: PNI Neuron   (M) Sdn. Bhd.
Simblet, Sarah (2004). The Drawing Book. London: Darling Kindersley Limited.

1 comment:

  1. Salam Unggas Seni, boleh hub saya fuadhj@gmail.com 0196654335

    ReplyDelete